Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PMX INGATKAN PENGGUNA JANGAN MUDAH TERPENGARUH

menupromosi    

PMX INGATKAN PENGGUNA JANGAN MUDAH TERPENGARUH

KOTA KINABALU, 15 MAC 2026 (AHAD) – YAB Datuk Seri Panglima Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri diiringi oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan 2026 bertempat di Pusat membeli-belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengguna perlu diperkasa dengan ilmu dan maklumat agar dapat membuat pilihan pembelian secara bijak berdasarkan keperluan sebenar serta tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau trend semasa.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan, termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), jualan murah serta advokasi kepenggunaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan komited melindungi kepentingan pengguna dengan memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan terkawal, khususnya menjelang musim perayaan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026.

YAB Perdana Menteri turut mengaitkan pengguna yang bijak dengan semangat Ramadan yang menekankan kesederhanaan dalam kehidupan dan perbelanjaan. Beliau mengingatkan rakyat supaya membeli mengikut keperluan, mengelakkan pembaziran serta sentiasa mengingati golongan kurang berkemampuan dengan berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.

Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan disambut pada 15 Mac setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.

Turut hadir ialah YB Datuk Julita Majungki, Menteri Wanita, Kesihatan, dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN dan Pegawai- pegawai kanan kementerian.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat