MAJLIS PENYERAHAN KAD FLEET SISTEM KAWALAN DIESEL BERSUBSIDI (SKDS), SENTUHAN KASIH DAN PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI (PJRM) PREMIUM WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Petron, PETRONAS dan Shell telah menganjurkan Majlis Penyerahan Kad Fleet SKDS di Balai Raya Kampung Patau-Patau 2, W.P. Labuan pada 19 Julai 2026 kepada para wakil perniagaan syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
KPDN menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh syarikat-syarikat minyak ini dalam memastikan proses pengeluaran kad fleet dapat dilaksanakan dengan lancar kepada syarikat-syarikat yang layak.
Pelaksanaan mekanisme kad fleet membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
Melalui majlis ini, YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama-sama YB Dato' Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan telah berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan Bakul RAHMAH kepada penduduk di W.P. Labuan. Turut hadir YBhg.Dato' Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha KPDN serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Kerajaan Tempatan.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat
