Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)

1. Bagaimanakah cara untuk memohon petrol bersubsidi di bawah SKPS?

Syarikat boleh memohon secara atas talian menerusi Sistem MySubsidi (Modul Petrol) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/

2. Adakah pendaftaran secara manual boleh dilakukan?

Tidak. Pendaftaran hanya boleh dilakukan secara atas talian melalui Sistem MySubsidi.

3. Bilakah syarikat pengangkutan boleh mula memohon petrol bersubsidi di bawah SKPS?

Syarikat pengangkutan boleh mula memohon mulai 15 September 2025.

4. Apakah maklumat yang diperlukan untuk permohonan pendaftaran petrol bersubsidi SKPS dalam Sistem MySubsidi?

Maklumat yang diperlukan termasuk: (i) Butiran maklumat syarikat; (ii) Maklumat wakil syarikat; dan (iii) Pilihan syarikat minyak antara jenama PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHP atau FIVE.

5. Bagaimanakah cara pendaftaran akaun di bawah SKPS?

Pendaftaran perlu dilakukan mengikut kategori pemilikan kenderaan yang layak di bawah SKPS seperti berikut: (i) Pemilikan Tunggal - kenderaan didaftarkan di bawah nombor kad pengenalan pemilik; (ii) Syarikat - kenderaan didaftarkan di bawah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); atau (iii) Koperasi/PBT - kenderaan yang didaftarkan di bawah Koperasi atau syarikat yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

6. Berapa lama proses kelulusan kelayakan petrol bersubsidi SKPS?

Kelulusan adalah serta merta tertakluk kepada kelayakan jenis badan, kelas kegunaan dan tempoh cukai jalan kenderaan yang sah. Selain itu, maklumat yang telah diisi perlu tepat dan akuan telah dihantar untuk permohonan dianggap lengkap.

7. Kenapa pendaftaran saya tidak berjaya?

Antara sebab pendaftaran tidak berjaya adalah kerana: (i) No. Kad Pengenalan/ No. Pendaftaran Perniagaan tidak tepat. (ii) Ejaan nama syarikat/ perniagaan tidak sama seperti dalam Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan. (iii) Pendaftaran menggunakan No. Pendaftaran Perniagaan yang tidak aktif. (iv) Kenderaan tidak tersenarai di dalam 21 jenis kenderaan yang dinyatakan. (v) Kenderaan bukan hak milik syarikat yang memohon. (vi) Cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh.

8. Apakah jenis kenderaan yang layak di bawah SKPS?

Sektor Pengangkutan Darat Awam: 1. Teksi 2. Kereta Sewa 3. Bas Sekolah 4. Van Mayat 5. Ambulans 6. Bomba 7. Bas Pengantara 8. Bas Berhenti-henti 9. Bas Mini

Sektor Pengangkutan Darat Barangan: 1. Lori Kargo Am 2. Semi Panel Van 3. Lori Luton/Kotak 4. Panel Van 5. Window Van 6. Lori Food Catering 7. Lori Rigid – Refrigerated 8. Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak 9. Van Rigid – Perkhidmatan Bergerak 10. Lori Rigid – Kandang Haiwan 11. Van Food – Catering 12. Lori Rigid – Hasil Pertanian

Senarai jenis kenderaan yang layak adalah tertakluk kepada pindaan atau keputusan Kerajaan dari semasa ke semasa.

9. Berapa bilangan jenama syarikat minyak yang boleh dipilih semasa membuat permohonan dalam Sistem MySubsidi (Modul Petrol)?

Syarikat boleh memilih maksimum tiga (3) jenama syarikat minyak semasa memohon di dalam Sistem MySubsidi. Jenama yang boleh dipilih adalah di antara PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHP dan FIVE.

10. Berapa lama tempoh sah laku kelulusan petrol bersubsidi?

(i) Tempoh sah laku kelulusan petrol bersubsidi adalah bergantung kepada tempoh sah laku cukai jalan kenderaan. (ii) Cukai jalan mestilah dikemaskini sebelum 28 haribulan setiap bulan dan pembaharuan cukai jalan perlu melangkaui bulan seterusnya untuk mendapatkan subsidi pada bulan berikutnya.

11. Apakah yang perlu dilakukan setelah mendapat kelulusan? Bagaimanakah cara untuk memohon fleet card?

Pemohon perlu mengemukakan dua (2) dokumen yang dijana melalui Sistem MySubsidi kepada syarikat minyak pilihan bagi permohonan fleet card: (i) Surat Kelayakan Membeli Petrol Bersubsidi; dan (ii) Senarai Kenderaan yang diluluskan.

12. Berapakah tempoh bagi memproses permohonan fleet card oleh syarikat minyak?

Tempoh memproses permohonan fleet card adalah dalam tempoh sehingga 14 hari bekerja selepas permohonan lengkap dikemukakan kepada syarikat minyak. Sebarang pertanyaan atau permohonan boleh diajukan kepada syarikat minyak seperti berikut:

PETRONAS: 1-300-88-8282, https://www.mymesra.com.my/for-business/smartpay
Shell: 1-300-22-8181, https://www.shell.com.my/business-customers/shell-fuel-card/apply-for-shell-fuel-card.html
Petron: 1-800-88-8298, https://www.petronfleetcard.com.my/
Caltex: 1-800-88-3168, https://www.caltex.com/my/businesssolutions/fleet-cards/subsidy-cashcardapplication1.html
BHP: 03-7719 9499, https://www.bhpetrol.com.my/x-fleet-card/
FIVE: 03-2391 1555, https://mysubsidi.5petrol.com/

13. Bagaimanakah cara memohon untuk menukar jenama fleet card syarikat minyak?

Syarikat boleh memohon pertukaran jenama fleet card syarikat minyak dalam Sistem MySubsidi di bahagian "Permohonan Pertukaran Syarikat Minyak". Namun pertukaran jenama fleet card syarikat minyak masih tertakluk kepada kelulusan pelepasan syarikat minyak semasa dan penerimaan syarikat minyak baharu yang dipilih.

14. Bagaimana sekiranya pengguna kehilangan fleet card atau rosak?

Sekiranya fleet card yang rosak, atau tamat tempoh, sila hubungi syarikat minyak pilihan untuk proses penukaran. Sekiranya fleet card hilang, pengguna perlu membuat laporan polis bagi mengelakkan salah guna fleet card tersebut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

15. Berapa kali pertukaran syarikat minyak boleh dilakukan dalam masa setahun?

Syarikat/ perniagaan boleh memohon pertukaran syarikat minyak sebanyak tiga (3) kali dalam setahun.

16. Bilakah kelulusan baharu petrol bersubsidi dikeluarkan sekiranya berlaku pertukaran syarikat minyak?

Sekiranya berlaku pertukaran syarikat minyak, kelulusan petrol bersubsidi syarikat hanya boleh digunakan pada 1 haribulan bulan berikutnya setelah permohonan pertukaran diluluskan.

17. Bagaimana saya hendak mengetahui status pertukaran syarikat minyak?

Pemohon akan menerima status pertukaran melalui notifikasi email dan melalui Sistem MySubsidi. Sekiranya status pertukaran syarikat minyak belum berjaya, pemohon boleh menghubungi syarikat minyak semasa atau yang baharu untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

18. Adakah KPDN terlibat dalam pertimbangan pertukaran syarikat minyak oleh pemohon?

KPDN tidak terlibat dengan urusan tersebut. Pemohon perlu menghubungi syarikat minyak yang berkenaan.

19. Mengapakah kuota saya tidak boleh digunakan dan saya terpaksa membayar petrol pada harga pam dan bukannya pada harga subsidi?

Kemungkinan kuota tidak dapat digunakan kerana syarikat pengangkutan tidak mematuhi syarat-syarat yang dinyatakan pada Soalan 10. Selain itu, bagi syarikat yang menggunakan fleet card kredit atau pascabayar, sila semak had kredit bersama syarikat minyak pilihan.

20. Bagaimana hendak menambah kenderaan sekiranya membeli kenderaan baharu ataupun kenderaan terpakai?

Log masuk ke akaun dan tambah kenderaan dengan menanda (/) kenderaan untuk ditambah.

21. Mengapakah kenderaan layak saya tidak tersenarai di dalam akaun Sistem MySubsidi?

Kenderaan tersebut mungkin tidak layak. Kemungkinan pengguna baru sahaja membuat penukaran hak milik, memperbaharui cukai jalan, atau mengemaskini maklumat ID/No. Pendaftaran Perniagaan di JPJ. Sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan, syarikat boleh menghubungi KPDN dengan kadar segera.

22. Apakah yang saya perlu lakukan sekiranya berlaku kecurian kenderaan?

Pengguna perlu membuat laporan polis dan seterusnya menghubungi syarikat minyak pilihan dengan segera untuk membuat pembatalan kad supaya tidak disalahgunakan.

23. Sekiranya No. Pendaftaran Perniagaan tidak sama di dalam sistem MySubsidi dan di geran kenderaan?

Sila kemaskini maklumat No. Pendaftaran Perniagaan pada geran kenderaan supaya selari dengan sistem MySubsidi.

24. Bolehkah saya mendapatkan senarai nombor telefon syarikat minyak (Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHP, FIVE) untuk dihubungi?

Senarai talian hotline syarikat minyak adalah seperti berikut: PETRONAS: 1-300-88-8282, SHELL: 1-300-22-8181, PETRON: 1-800-88-8298, CALTEX: 1-800-88-3168, BHP: 03-7719 9499, FIVE: 03-2391 1555

25. Siapakah yang saya boleh hubungi sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkenaan SKPS?

Sebarang pertanyaan boleh dipanjangkan melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Pertanyaan juga boleh dipanjangkan ke Pusat Panggilan SKPS bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada hari bekerja di talian 03-8882 5893/ 5894/ 5923/ 6667.

26. Adakah bot yang disenaraikan oleh KPDN hanya tertakluk kepada bot penumpang awam yang didaftarkan bawah syarikat sahaja? Bagaimana pula bagi bot kecil dimilik individu yang membawa penumpang atau sebagai pengangkutan utama?

Skop yang ditetapkan bagi tuntutan di bawah KPDN hanya terbuka kepada bot penumpang awam yang berdaftar di bawah syarikat; Manakala, tuntutan bagi bot kecil yang kategori milikan "individu" sama ada bagi tujuan membawa penumpang atau digunakan sebagai pengangkutan utama adalah di bawah kelolaan MOF melalui Budi95.

27. Bagaimana dengan bot yang membawa penumpang bagi tujuan pelancongan yang didaftarkan bawah syarikat tour agency, adakah bot bagi kategori ini boleh membuat tuntutan? Di bawah SKDS sebelum ini, adakah kenderaan untuk pelancong seperti van/bas persiaran diberikan kelulusan subsidi?

Dalam pelaksanaan SKDS sedia ada, kenderaan yang digunakan bagi tujuan pelancongan tidak menepati takrifan pengangkutan awam dan tidak layak mendapat kelulusan kuota subsidi. Dalam konteks yang sama, bot yang digunakan bagi tujuan pengangkutan pelancong tidak layak membuat tuntutan.

28. Berapa lama masa yang diperlukan untuk membangunkan modul tuntutan dan modul pendaftaran dalam SKPS bagi kategori bot penumpang awam?

SBKS sedang membangunkan portal untuk sektor bot penumpang bagi tujuan tuntutan. Pada masa yang sama, modul baharu bagi pendaftaran bot adalah proses aliran reka bentuk program bersadarkan kepada perbincangan untuk memuktamadkan kaedah yang bersesuaian yang sedang berjalan bersama agensi-agensi di peringkat negeri termasuk Sabah dan Sarawak.