1. Bilakah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa?
Akta ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
2. Mengapa tempoh penangguhan (grace period) diberikan kepada penyedia sewa beli?
Tempoh penangguhan sehingga 31 Mac 2027 diberikan kepada penyedia sewa beli bagi tujuan penyesuaian sistem, dokumentasi dan proses penyelarasan dengan keperluan baharu.
Namun begitu, penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli berdasarkan pindaan baharu sebaik sahaja berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
3. Mengapa kaedah pengurangan baki diperkenalkan?
Kaedah pengurangan baki menggantikan kaedah Peraturan 78. Kaedah ini memastikan faedah dikira berdasarkan baki prinsipal semasa, sekali gus lebih adil kepada peminjam, khususnya bagi mereka yang membuat penyelesaian awal pinjaman.
Peralihan ini juga meningkatkan ketelusan kerana faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman sebenar yang masih tertunggak.
4. Apakah manfaat kaedah pengurangan baki kepada pengguna?
Kaedah pengurangan baki mengenakan faedah ke atas baki prinsipal semasa. Ini menghasilkan caj faedah yang lebih adil kerana faedah hanya dikenakan ke atas jumlah prinsipal yang masih tertunggak.
5. Adakah pinjaman sewa beli pada kadar tetap masih ditawarkan?
Ya. Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 masih membenarkan penyedia sewa beli menawarkan pinjaman kadar tetap dan kadar boleh ubah. Pengguna bebas memilih jenis pinjaman yang sesuai dengan keperluan mereka.
6. Apakah perbezaan antara pinjaman kadar tetap dengan pinjaman kadar boleh ubah?
Kadar tetap: kadar faedah dan ansuran bulanan kekal sepanjang tempoh pinjaman.
Kadar boleh ubah: kadar faedah berubah mengikut kadar asas pasaran seperti OPR, menyebabkan ansuran bulanan boleh meningkat atau menurun.
7. Bagaimana saya boleh menilai kadar faedah yang ditawarkan?
Pengguna disarankan membandingkan kadar faedah efektif kerana ia menunjukkan kos sebenar pinjaman berdasarkan baki pinjaman semasa dan membantu membuat pilihan yang lebih tepat.
8. Adakah penyedia sewa beli akan menjalankan pengesahan identiti peminjam?
Ya. Penyedia sewa beli perlu menjalankan semakan wajar untuk mengesahkan identiti peminjam menggunakan maklumat dan kaedah seperti biometrik, pengecaman wajah atau kaedah lain yang bersesuaian bagi mengelakkan penipuan.
9. Adakah perjanjian sewa beli elektronik akan dihantar secara elektronik?
Ya. Penyedia sewa beli boleh menghantar dokumen secara elektronik sekiranya dipersetujui dalam perjanjian. Walau bagaimanapun, peminjam masih boleh meminta salinan fizikal jika diperlukan.
10. Adakah rebat masih diberikan jika pinjaman diselesaikan lebih awal?
Tidak. Di bawah kaedah pengurangan baki, faedah hanya dikira sehingga tarikh penyelesaian pinjaman. Oleh itu, konsep rebat tidak lagi diperlukan.
11. Adakah pindaan ini memberi kesan kepada perjanjian sewa beli sedia ada?
Tidak. Pindaan hanya terpakai kepada perjanjian baharu selepas Akta berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak boleh bersetuju menggunakan kaedah baharu tertakluk kepada kesediaan penyedia sewa beli.
12. Mengapakah pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 diperkenalkan sekarang?
Pindaan diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan pengguna kredit, menghapuskan penggunaan Peraturan 78 yang dianggap tidak adil, serta menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
