Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Pendahuluan

Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuh di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599]. Tribunal beroperasi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Objektif Tribunal

  1. Menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan barang atau perkhidmatan secara murah, mudah dan cepat.
  2. Mendengar dan mengadili tuntutan dengan bebas, adil dan saksama.
  3. Membangunkan undang-undang berhubung perlindungan pengguna.

Bidang Kuasa Tribunal

Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

  1. Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barangan dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal sepertimana diperuntukkan di bawah Akta 599.
  2. Tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. Tuntutan yang terakru dalam masa tiga (3) tahun dari tarikh kejadian.

Batasan Bidang Kuasa

TTPM tiada bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan:

  1. berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
  2. bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
  3. pertikaian mengenai hakmilik kepada mana-mana tanah atau estet atau kepentingan mengenai tanah;
  4. pertikaian mengenai hak mana-mana orang di bawah suatu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tidak berwasiat (termasuk kematian tidak berwasiat separa);
  5. perkhidmatan ahli profesional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis;
  6. perkhidmatan jagaan kesihatan;
  7. perkhidmatan penerbangan; dan
  8. pertikaian berkaitan dengan hal-hal:
    1. francais;
    2. nama baik;
    3. rahsia perdagangan atau harta intelek lain; dan
    4. apa-apa hak dalam tindakan atau apabila mana-mana Tribunal telah ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan berkaitan dengan perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.

Bagaimana Memfailkan Tuntutan

TTPM mengamalkan dasar mesra pengguna di mana penuntut boleh mendapatkan akses membuat tuntutan secara terus dengan menggunakan cara yang berikut:

  1. Hadir di kaunter TTPM di pejabat-pejabat negeri seluruh Malaysia termasuklah di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan; atau
  2. Pemfailan secara online di https://ttpm.kpdn.gov.my
  3. Fi pemfailan sebanyak RM5.00.